Wednesday, August 26, 2009

Seni dan Islam



Islam adalah agama yang indah dan memenuhi keperluan fitrah manusia.Satu daripada keperluan ini adalah ingin menikmati sesuatu seperti bunyian,lukisan,tarian,puisi,seni bina dan sebagainya yang semua ini layak digelarkan sebagai seni.Satu luah damba rasa yang azali dalam meniti hidup sebagai manusia.Dan menjadi lumrahlah,manusia mudah tertarik dengan kecantikan,alunan irama dalam membentuk konteks hiburan dalam hidupnya.
Biarpun perspektif seni ini berbeza pada setiap manusia,namun tiada siapa dapat menyangkal akan pentingnya kesenian.Cubalah berikan contoh manusia yang tidak memerlukan seni,sudah tentu tidak ada biarpun seorang yang zahid atau sufi dalam hidupnya.Malah tokoh sufi terkenal,al-Ghazali juga menyatakan”Jiwa yang segar adalah jiwa yang dapat menikmati petikan biola,bunga-bungaan yang indah di taman,dan jiwa yang mati adalah yang gagal menikmatinya”.
Lihat sajalah mukjizat agung kita,al-Quran.Bukankah ia diturunkan pada zaman ketertinggian sastera?Dengan indah bahasanya dan olahan pengisiannya telah memukau bagai magis sesiapa yang mendengarnya pada waktu itu.Terislamnya Umar al-Khattab juga adalah kerana terpesona dengan indahnya bacaan al-Quran yang dibaca adiknya.Begitu juga Tufail bin Amru ad-Dausy yang pada mulanya begitu benci pada Muhammad s.a.w.Sehingga dia menutup kedua telinganya dengan kapas pada ketika baginda berucap,dan akhirnya terkedu,terpesona dengan bacaan Muhammad s.a.w dan serta-merta memeluk Islam.Al-Quran itu sendiri memperlihatkan akan pentingnya peranan keseniaan kerana lumrah manusia yang senang tertarik dengan keindahan.
Kita juga diseru Tuhan agar menikmati hasil halus kesenian dalam ciptaanNya agar kita lebih menghargai,seperti firmanNya ;
Tidakkah engkau melihat bahawa Allah menurunkan hujan dari langit,lalu Kami keluarkan dengan air hujan itu buah-buahan yang berlainan jenis dan rupa,di antara gunung-ganang pula ada yang mempunyai jalur-jalur serta belang-belang putih dan merah,yang berlainan warna dan ada yang hitam legam.Demikian pula di antara manusia,dan binatang yang melata serta ternakan ada yang berlainan jenis dan warnanya.
( Surah al-Fathir,ayat 27-28 )
Cabang lain dalam kesenian pula adalah muzik.Tidak dapat dinafikan betapa tertariknya kita akan muzik dan seperti suatu kemestian dalam berhibur memerlukan muzik.Diakui ada segelintir manusia yang menolak terus konsep muzik ataupun berhibur ini,dan ternyata mereka berada di landasan yang salah walaupun sama haluan.Rasulullah sendiri tidak melarang dalam mendendangkan irama,pada waktu dan adab tertentu.,seperti yang diriwayatkan Aisyah ;
Isytiharkan perkahwinan ini dan akadlah di masjid serta palulah rebana ”
( Hadis riwayat Tarmizi )
Begitu juga dalam konteks persembahan,seperti yang diriwayatkan Abu Hurairah ;
Ketika penduduk Habsyah sedang bermain-main dengan tombak-tombak mereka di hadapan Rasulullah,tiba-tiba masuklah Umar al-Khattab.Lalu dia mengambil batu-batu kecil dan melontar mereka.Kemudian Rasulullah berkata kepadanya,”Biarkan mereka,wahai Umar ”
( Riwayat Bukhari dan Muslim )
Nah,cuba kita bayangkan jika ditolak semua kesenian ini,Jadilah kita insan yang rugi dan mementingkan diri sendiri.Lihat sahaja bagaimana mudahnya kita menghafal nama rasul dan bulan-bulan Islam,bukankah ia melalui muzik ?Dengan muzik kita bukan sahaja dapat berhibur dan menghafal,malah dengan muzik jugalah kita dapat menonjolkan imej Islam mahupun budaya dan negara.Dan tiada alat muzik yang haram jika dimainkan betul niatnya.
Jika ada mengatakan alat bertali(gitar) itu haram dan rebana dibolehkan,cuba bayangkan rebana itu diketuk dalam suasana manusia itu menari sehingga lupa batas pemakaian dan susilanya.Dan cuba pula bayangkan gitar itu dipetik dalam mengiringi alunan suara yang memuji keagungan Tuhan dan dalam bahasa yang saling menasihati.Manakah yang lebih baik ? jadi sudah tentulah apa sahaja alatan muzik jika baik niatnya,baik liriknya,baik masanya,tidak melibatkan pergaulan bebas,bersih suasananya dan tidak melalaikan,sudah tentulah ia dibolehkan.Asal sahaja ia tidak berlebih-lebihan.
Menjadi terlalu panjang tulisan ini jika dihuraikan lagi cabang-cabang kesenian yang lain,yang ternyata terlalu banyak kaitannya seni itu dengan agama yang indah ini.Dunia pun telah melihat akan cantiknya senibina Islam seperti tinggalan Andalusia,yang berdiri megahnya al-Hambra.Begitu juga tinggalan Uthmaniah laitu Haghia Sophia.Dan begitu juga ribuan lagi bukti kehebatan kesenian Islam di dalam bidang tenunan,kaligrafi,penulisan dan sebagainya.
Hakikatnya,seni dan Islam adalah sesuatu yang tak dapat dipisahkan,malah ia bergerak selari.Dan dalam dunia yang pantas berkembang ini,senilah jua membolehkan kita menyampaikan mesej Islam.Tidak kisahlah dalam apa lapangan kesenian seperti filem,teater,senibina,fesyen dan sebagainya,bawalah sama mesej Islam dan jika tidak pun,jagalah maruah Islam.Jika tidak mampu menjaja mesej Islam,jagalah imej Islam.

No comments:

Post a Comment