Thursday, June 2, 2011

Restu Langit


Secara rasminya tinggal sehari lagi sebelum saya bergelar suami. Ada beberapa sikap yang harus saya buang dan beberapa sikap baru harus saya tambah. Kerana bukan mudah setelah diberi amanah dan sebagai lelaki banyak lagi harus saya pelajari. Saya juga mengakui agak degil dan tegar saya dengan prinsip-prinsip hidup yang telah dipegang bertahun lamanya. Ada kemungkinan untuk direnung semula keberkesanannya.

Memang sibuk dan saya terpaksa mengambil sedikit masa untuk saya menulis malam ini sebagai tanggungjawab dan cabaran buat diri saya sendiri. Sifat saya yang berwarna-warna memang membingungkan. Dengan rakan ini begini warnanya, dengan rakan itu pula begitu pula warnanya. Belum dicampur dengan ibu-bapa, keluarga, saudara, rakan sekerja yang dah bermacam-macam warnanya. Dan saya harap bakal isteri saya sudah melihat kesemua warna ini.

Dan kesemua ini harus dinilai semula dan tiba masa untuk saya tidak lagi bermuka dengan pelbagai warna. Penyelarasan harus saya lakukan.

Apa-apa pun, semoga semuanya berjalan dengan lancar. Semoga majlis ini direstui Allah dengan rahmatNya. Saya pasti inilah jodoh yang sudah tertulis sebelum wujud saya di dunia, dan semoga rezeki yang juga sudah tertulis, akan diberkati dan dilimpahkan seadanya. Allah maha pemberi rahmat, Allah Tuhan satu-satunya, Allah maha luas kekuasaanNya, Allah maha sempurna aturNya, Allah penentu segala-galanya.   Tibalah masa untuk mendekatkan diri kepadaNya ..