Wednesday, September 14, 2011

Persinggahan Kerjaya


Hospital
Menjadi seorang penjual atau sales person bukanlah mudah. Ia memerlukan skil yang tinggi untuk memikat hati dan mewujudkan keperluan kepada pengguna. Dan ia bergantung juga pada apa produk atau perkhidmatan yang ditawarkan. Wujudnya entri ini adalah untuk berkongsi tentang pandangan saya terhadap bidang yang kini menjadi kerjaya saya. Dan sejujurnya tak pernah saya bayangkan dulu bahawa saya akan menjadi seorang ' Pharmaceutical Representative ' atau ' Medical Sales Executive.'  Malah tak pernah wujud pun keinginan.

Bidang yang telah saya ceburi selama 7 bulan ini sebenarnya bukanlah baru dan di mana-mana pun dapat anda lihat individu berpakaian kemas membawa beg bimbit di klinik, farmasi mahupun hospital. Tujuannya, mempromosi ubatan atau apa sahaja material yang berkaitan tentang pemulihan bagi penyakit. Dan dipromosi kepada doktor-doktor sehinggalah mereka menjadi pembeli dan membuka akaun dengan anda. Dan setiap ' representative ' biasanya mengawal selia bagi sebuah negeri. Dan saya, mengawal dua buah negeri.

Saya tidak pernah minat untuk berkerjaya sebagai jurujual. Namun dengan usia yang mematangkan tambahan lagi baru berkahwin dan bakal menimang cahaya mata membuatkan saya terdetik untuk serius. Lagipun kerjanya berjumpa doktor, golongan professional. Juga tiada ofis dan bergerak secara individu. Timbul rasa ingin cuba dan belajar selok-belok jualan dan pemasaran. Kerana ianya juga adalah seni. Seni memikat dan mempengaruhi. Dan ini jugalah yang saya inginkan ketika bekerja di bank dahulu. ( Tidak duduk di ofis ). Dan dari seburuk-buruk klinik sehinggalah semegah-megah hospital dapat saya nikmati persekitaran pekerjaan.

Saya memandang ' sales ' sebagai sukar tetapi mudah jika sudah mahir cara. Memang disiplin adalah prinsip utama malah dalam pekerjaan apa pun. Saya mencipta formula untuk ' tidak menjadi diri sendiri '. Ia selama 8 jam sehari dalam 5 hari seminggu. Ini  bermaksud saya harus meng' create ' satu watak baru yang berbeza dengan diri sebenar. Boleh dikatakan hipokrit namun ia penting untuk membuatkan saya tidak kecewa. Kerana yang dihadapi pelanggan itu adalah diri saya dalam versi lain. Yang lebih sopan, lembut, peramah dan berbicara Inggeris senantiasa. Selesai waktu kerja, saya adalah Nil Adriez semula. 

Saya dapat membantu pesakit untuk sembuh. Ini sebenarnya aspek yang terabai ketika mula saya memandang pekerjaan ini. Timbul rasa terharu dan gembira bila saya dapat melihat pesakit itu menggunakan produk saya dan ' getting better ' dengannya. Inilah antara kepuasan yang mempengaruhi saya kekal dalam pekerjaan ini. Selepas mendapat jualan, saya kan gembira. Saya meraikannya dengan minum kopi dan menghisap rokok, mendengar lagu sekuatnya di dalam kereta dan terus berjalan lagi. Jalan beratus kilometer lagi untuk berjumpa pelanggan baru dan lama. Dan setiap pelanggan ada saja kerenahnya namun harus teruskan lagi bekerja. Singgah juga di tempat di mana ada pemandangan yang menenangkan.

Kerjaya ini menyeronokkan jika anda jenis yang selesa sendiri, menetap di hotel juga kadangkala seminggu sendiri. Tiada teman sepejabat dan tiada ' mate ' untuk menghadapi permasalahan bersama. Namun saya selesa. Seperti di artikel ' 25 ', saya masih lagi samar-samar. Namun buatlah apa yang termampu untuk hidup.Tak pasti sehingga bila saya akan kekal bersama kerjaya ini namun saya menganggapnya salah satu warna dalam proses kehidupan saya. Saya masih memegang janji saya untuk menjadi artisan. Tak kira lapangan seni mana pun namun saya tetap mahu ke tahap itu. Mungkin saya akan berkarya dan menjana pendapatan daripadanya, mudah-mudahan .. siapa tahu. Dan ini juga ternyata hanya ' persinggahan kerjaya ' sehingga nanti dapat mula perniagaan sendiri .. juga siapa tahu.

Friday, September 9, 2011

Sendiri


Bila sendiri, kita akan bicara,
Antara sendiri dengan sendiri,
Dialog antara anda dan anda,
Lantas mencipta teori di minda,
Lalu terbitnya jiwa teroka, 
( Melihat )
Di depan mata berbagai manusia,
Yang senang ada yang susah pun ada,
Timbul rasa kasihan, melihat hakikatnya insan,
                                                 Di kepala ligat bersusun-susun ayat,
                                                 Seolah kita pemikir yang hebat,
                                              Seolah kita pendiam bukannya ligat,
                                              Seolah lagu, puisi terus terhasilkan,
                                          Seolah kita memahami sebenarnya insan
                                                      Timbul niat merancang, 
                                                           Diam terus diam,
Kita terus berjalan dan jalan,
Masih seorang, masih betul fikiran,
Di kepala yang berlagu tema,
Yang difikir kena dengan suasana,
Segalanya lancar sehinggalah kita,
( Sosialiasasi )
Bertemu rakan dan bertemu taulan,
Dimulanya bicara dan berketawa sakan,
Dibualnya perkara yang bukan-bukan,
Dilupanya tadi dia sendiri,
Yang masih rasional menilai diri.


Thursday, September 8, 2011

25



Umur sudah 25. Dan saya masih belum lagi pasti apa yang sebenarnya hendak saya lakukan. Dan saya percaya masih ramai juga begitu. Tak pernah saya bekerja dan mencintai kerja saya seolah inilah yang bakal dilakukan sepanjang proses kehidupan. 25, adakah sudah tua ? adakah sudah terlambat untuk sekali lagi mengambil risiko ? Bagi saya sudah tentu belum terlambat. 25 masih berbaki lagi 2 tahun untuk menilai kembali hidup dan ' decide ' apa sebenarnya harus dilakukan.

Umur 25 juga adalah pertengahan sebelum bergelar 50. Bermakna ada sekali lagi masa kehidupan sama jaraknya daripada dilahirkan dahulu. Akan digunakan masa sebelum 27 ini untuk jalani dengan tenang sambil merancang. ' Saya belum terlambat ' adalah prinsip terbaik. Namun harus tekad dan tak tergelincir seperti yang mati pada umur 27. Mungkin mereka gagal dalam berhijrah dan lantas ditamatkan riwayatnya. Dan saya tak mahu begitu.

Nasihat saya pada yang sudah berada diusia ini. Jika bercinta, seriuslah. Kerana dia yang bakal anda kahwini. Tak mampu lagi dah membuang masa dan wang jika bercinta tapi masih bermain. Bebannya putus cinta adalah separuh daripada kematian, minta hindarlah. Fokuslah pada impian yang mendamaikan anda dan keluarga mahupun bakal keluarga. Niatlah juga setebalnya di dalam hati dan kata ' Saya harus berkahwin '. Ia doa, niat murni yang sudah pasti disukai Tuhan. Percayalah, nikah itu mendamaikan. Impikanlah jua material yang sedang-sedang sahaja. Dan jalanilah hidup dengan senyuman walaupun ini yang masih sukar saya lakukan.

Kumpulkan wang dan pada masa yang sama, jangan dirisaukan sangat akan wang. Selagi masih boleh makan dan membayar bil, itu sudah cukup bertuah. Pada yang belum 25, enjoylah kerana inilah masanya. Saya bersyukur kerana dapat berkahwin. Terlepas saya dari ikatan renggang ke ikatan mati. Dan tenang rasanya setiap kali beribadah. Isteri juga sedang mengandung dua bulan dan merasalah saya menangani ragam isteri yang mengidam. Alhamdulillah, yang diidam adalah makanan yang termampu.

Apa-apa pun, prinsip hidup masing-masing tetap berbeza. Saya merasakan tetap akan bertukar-tukar kerja dan akhirnya saya akhirinya dengan berniaga. Saya sudah 25 dan saya masih 25 tapi takkan terus 25. Tanggungjawab tetap saya tak lupa dan usaha terus usaha. Berbelas ringgit baki di dalam akaun sering saya merasa dan tak pernah saya gentar akannya. Saya merasakan dari kecil bahawa saya adalah ' something '. Ia bukan anggapan yang kosong. 27, aku akan datang dan akan akan cabar.

( Pengaruh dari filem 3 Hari Untuk Selamanya )


Thursday, June 2, 2011

Restu Langit


Secara rasminya tinggal sehari lagi sebelum saya bergelar suami. Ada beberapa sikap yang harus saya buang dan beberapa sikap baru harus saya tambah. Kerana bukan mudah setelah diberi amanah dan sebagai lelaki banyak lagi harus saya pelajari. Saya juga mengakui agak degil dan tegar saya dengan prinsip-prinsip hidup yang telah dipegang bertahun lamanya. Ada kemungkinan untuk direnung semula keberkesanannya.

Memang sibuk dan saya terpaksa mengambil sedikit masa untuk saya menulis malam ini sebagai tanggungjawab dan cabaran buat diri saya sendiri. Sifat saya yang berwarna-warna memang membingungkan. Dengan rakan ini begini warnanya, dengan rakan itu pula begitu pula warnanya. Belum dicampur dengan ibu-bapa, keluarga, saudara, rakan sekerja yang dah bermacam-macam warnanya. Dan saya harap bakal isteri saya sudah melihat kesemua warna ini.

Dan kesemua ini harus dinilai semula dan tiba masa untuk saya tidak lagi bermuka dengan pelbagai warna. Penyelarasan harus saya lakukan.

Apa-apa pun, semoga semuanya berjalan dengan lancar. Semoga majlis ini direstui Allah dengan rahmatNya. Saya pasti inilah jodoh yang sudah tertulis sebelum wujud saya di dunia, dan semoga rezeki yang juga sudah tertulis, akan diberkati dan dilimpahkan seadanya. Allah maha pemberi rahmat, Allah Tuhan satu-satunya, Allah maha luas kekuasaanNya, Allah maha sempurna aturNya, Allah penentu segala-galanya.   Tibalah masa untuk mendekatkan diri kepadaNya ..


Thursday, January 13, 2011

Keroncong Untuk Ana



   Juara Lagu ke 25 baru-baru ini mengundang banyak reaksi dan diperdebatkan di mana-mana. Di Facebook, Youtube, di kedai makan mahupun di pejabat-pejabat kerajaan. Memang besar penangan anugerah yang berusia sama denganku ini. Terpanggilnya saya menulis mengenai ‘ kekecohan ‘ ini bukan kerana pentingnya anugerah ataupun hiburan tetapi atas rasa sayangnya pada kesenian dan adanya sifu kejiwaan saya laitu M.Nasir di anugerah tersebut.

  Memang setiap tahun kemenangan akan dipertikai, malah pada anugerah atau kejuaraan apa sekalipun. Dan kemenangan Ana Raffali kali ini tidak jauh bezanya. Lagu “ Tolong Ingatkan Aku “ yang dikatakan ‘ sampah ‘ oleh segelintir pihak muncul sebagai juara. Yang menjadi isu yang dihangatkan adalah mengapa lagu ini boleh muncul sebagai juara. Secara peribadinya saya ‘ suka ‘ ia menjadi juara.

  M.Nasir sebagai ketua juri seolah bertindak kejam kerana memilih lagu ini. M.Nasir yang pernah 3 kali muncul juara di Anugerah ini dengan lagunya  Tanya Sama Itu Hud-Hud, Ghazal Untuk Rabiah, dan Andalusia “ ini besar kredibilitinya untuk melayakkannya sebagai ketua juri. Barisan juri yang lain pula adalah Habsah Hassan, Acis, Pacai, Amy (Search) dan Andy (Flop Poppy). Dan pasti ada sebab yang tersurat dan tersirat mengapa tokoh seni yang telah menghasilkan lebih dua ribu lagu itu memilih lagu ini.

Saya memetik katanya ;

“ Lagu nyanyian Ana Raffali itu bersifat sensitif, peribadi dan jujur. “

“ Lagu itu mempunyai rasa. Itu yang penting dan yang kita cari sebenarnya. Sama ada betul atau salah, keputusan itu dibuat dengan penuh kesedaran, penuh pengetahuan muzik, cita rasa dan pembaharuan. “

“ Lagu ini dikategorikan sebagai lagu terbaik tetapi mungkin penonton rasa lagu ini tidak ‘ besar ’. Saya melihat kepada kekuatan lirik dan lagunya. Ada kebanyakan lagu yang lemah pada lirik atau lagu dan kedua-duanya. ”

“ Saya suka pesona melodi dan kejujuran lagu ini berbanding lagu lain. Lirik lagu Tolong Ingatkan Aku lain dari yang lain dan bagus. “

“ Sebagai ketua juri, saya memilih lagu dan lirik yang bagus dan bukan yang popular. ”

  Dalam sejarah Juara Lagu, hanya tiga artis yang pernah memenangi Juara Lagu sebagai penggubah, penulis lirik dan penyanyi, iaitu M.Nasir menerusi lagu " Andalusia " pada tahun 1999, Yassin bagi lagu " Mimpi Laila " pada tahun 2001, dan Ana Raffali bagi lagu " Tolong Ingatkan Aku " pada tahun 2011 ini. Jelas sekarang pesona Ana Raffali pada M. Nasir adalah berbeza dimatanya berbanding peserta lainnya. Ana Raffali bergerak dalam keseluruhan lagunya.

 Ada yang menyatakan lagu “ Tolong Ingatkan Aku " ini agak ‘ tak faham ‘ liriknya, agak terlalu ‘ kurang ‘ pemilihan perkataanya. Tapi mengapa ? Apa yang hendak dipelikkan ? Bak kata M.Nasir “ Saya melihat kepada kekuatan lirik dan lagunya “. Jadi memang ada ‘ something ‘ pada lagu ini yang difahami saya sebagai jujur, peribadi dan tersendiri.

   Seperti lagu M.Nasir sebagai contoh saya ambil lagu “ Perang Yang Lagi Satu, Sentuhan Listrikmu, Wadi, Dibalik Cermin Mimpi, Setiap Dambaan, Destinasi Eterniti malah Mustika sendiri mempunyai maksud yang tersendiri dan peribadi. M.Nasir yang sejak tahun 1979 menggubah lagu dan lirik pasti melihat ‘ roh ‘ pada lagu ini berbeza, yang membuatkan ianya juara berbanding lagu lainnya.

Saya juga mengambil kenyataan daripada blog Ana Raffali sendiri yang berbunyi ;

Menulis puisi dan lirik itu satu disiplin yang berbeza. Kadangkala melodi diutamakan untuk memberi rentak pada penceritaan dalam mana-mana lagu. Ada juga masa lirik membawakan ritma yang menentukan corak melodi. Puisi lebih bebas dan tak tertakluk pada mana-mana ukuran. "

Seperti yang awak boleh lihat, walaupun ceritanya sama (perkataan yang digunakan pun sama), terdapat kelainan dari segi susunan dan fokus masing-masing. Puisi barangkali lebih kepada memujuk supaya jangan bergaduh dan berpisah, manakala lagu/liriknya adalah peringatan untuk tidak bergaduh dan berpisah. "

  Kenyataan ini adalah daripada Ana Raffali sendiri dalam memberi komen mengenai lagunya. Satu yang pasti, kenyataan sebegini takkan mungkin muncul daripada Tomok, Black apatahlagi daripada graduan Akademi Fantasia.  Ternyata lagu ini ada maknanya tersendiri  walaupun melodinya tidak cukup hit bagi radio-radio.

   Saya secara peribadi ‘ suka ‘ lagu Ana Raffali ini sebagai juara walaupun pilihan saya sebenarnya bukan pada lagu ini. Ia memberi impak yang positif pada penyanyi-penyanyi di Malaysia supaya lebih kreatif, jujur, berimaginasi dan berusaha sendiri dalam mencipta dan mempromosikan lagu. Pemuzik wajib kreatif dan bukan mengharap lagu daripada komposer terkenal dan hit untuk seketika. Tak salah kalau saya katakan lagu itu terbaik dinyanyikan oleh penciptanya sendiri.

  Kita tamatkan di sini sahaja. Banyak lagi isu yang wajar diperdebatkan. Mungkin sekarang kita patut utamakan isu kenaikan harga barang. Tahun ini bakal menyaksikan pesta kenaikan harga barang yang pasti akan naik tapi tak mahu turun. Dan untuk industri muzik, harapan saya adalah kita jangan malu untuk belajar, guru terbaik tetap adalah pengalaman. Banyakkanlah membaca dan menulis kemudian ekspresikan dengan melodi. Bila kalah jangan rebah dan bila menang jangan mudah berasa senang.

Kemenangan ini ternyata adalah sebuah Keroncong Untuk Ana  

                                                  “ Seni Itu Halus “   ~ Irama Kebenaran

Sunday, January 2, 2011

2011 - Tahun Aku Melangkah

~ melangkah dengan irama ~
  Suatu yang mengejutkan kerana adanya renggang selama setahun dari kali terakhir blog ini dikemaskini. Ringkasnya tahun 2010 tanpa sebarang artikel dimasukkan ke dalam blog. Namun kesepian ini adalah kesepian yang dirancang. Sengaja saya biarkan setahun ' kosong ' untuk memperbaiki kelemahan diri dan atas sebab yang terlalu peribadi untuk dikongsi. Ia juga kerana ada juga sedikit perasaan diri tidak selari dengan apa yang telah dikarangi.

  Sekarang sudah tahun baru, 2011. Dan kadang merasa sudah terlalu moden angka ini dalam usia dunia yang semakin tenat ini. Namun jika dikira dari zaman Adam hingga kini, dunia ini masih dalam period ' remaja 'nya. Di tahun ini pula saya yang akan menghabiskan zaman remaja. 2011 bakal berlangsungnya upacara ' Ikatan Abadi ' antara saya dan pasangan saya, Khairyezani. Jadi bolehlah dikatakan tumpuan dan usaha saya pada tahun ini adalah untuk menyempurnakan niat murni ini.

  Apa yang saya niatkan pada tahun 2009 untuk disempurnakan pada tahun 2010 telahpun terlaksana. Biarpun ada beberapa percubaan yang tidak berjaya namun keseluruhannya boleh dikatakan berjaya. Sekarang masa untuk saya merealisasikan apa yang diniatkan pada tahun 2010. Bukan satu percubaan yang mudah dan apa sahaja tindakan pasti ada kesannya. Saya percaya untuk hidup sebagai lelaki harus berani. Harus berani membuat keputusan dan berani menerima consequence. Tahun ini tanpa sebarang azam itu dan ini, tahun ini tahun aku menjadi ' lelaki'.

Thursday, November 5, 2009

Ikatan Yang Didamba



Aku dambakan pernikahan itu
Biar dikata muda , lewat mahupun cepat
Biar seribu lelah , susah mahupun penat

Jika ditanya bilakah hidup baru bermula ?
Kan ku jawab , selepas berumah tangga
Mengapa ? mahu lari dosa ?
Ya , juga kerana mengumpul pahala

Pahala suami kerana isterinya
Pahala isteri kerana suaminya
Pahala kasih pada penjaga
Pahala kasih pada mertua
Pahala isteriku yang menjadi ibu
Pahala kasihnya pada anak-anakku
Pahala bermesra dan manja berteman
Pahala mengembang bait turunan

Pernikahan yang ku damba
Ikatan termateri bukan hanya di dunia
Namun sah hingga ke akhirat sana

Janjiku kini kepadanya , kan bersatu bina bahtera
Bukan istana namun bahagia
Walau tak kaya tetap bahagia

Sentuhan yang kininya dosa kan jadi pahala
Kucupan yang kini tak bisa kan jadi biasa
Lena yang kini sendiri kan berteman jua
Sedarku dari mimpi terhias wajahnya

Jengah usiaku dah dua puluh tiga
Dah lama bercinta , sebenarnya tua
Hakikatnya nikah itu sudah tiba masa
Demi ke detik itu , demi ke syurga itu
Segalanya kan ku usaha

Bila sudah terikat pasti nanti
Tak mungkin akan aku persia
Tutur dan tingkah kan terpelihara
Mencari rezeki tak kira masa

Kerana janjiku bukan hanya pada dia
Bukan hanya pada ibu bapaku
Bukan hanya pada ibu bapanya
Menjadi lelaki yang diamanahkan cinta
Sebenar janjiku pada “ Yang Esa “