Wednesday, September 14, 2011

Persinggahan Kerjaya


Hospital
Menjadi seorang penjual atau sales person bukanlah mudah. Ia memerlukan skil yang tinggi untuk memikat hati dan mewujudkan keperluan kepada pengguna. Dan ia bergantung juga pada apa produk atau perkhidmatan yang ditawarkan. Wujudnya entri ini adalah untuk berkongsi tentang pandangan saya terhadap bidang yang kini menjadi kerjaya saya. Dan sejujurnya tak pernah saya bayangkan dulu bahawa saya akan menjadi seorang ' Pharmaceutical Representative ' atau ' Medical Sales Executive.'  Malah tak pernah wujud pun keinginan.

Bidang yang telah saya ceburi selama 7 bulan ini sebenarnya bukanlah baru dan di mana-mana pun dapat anda lihat individu berpakaian kemas membawa beg bimbit di klinik, farmasi mahupun hospital. Tujuannya, mempromosi ubatan atau apa sahaja material yang berkaitan tentang pemulihan bagi penyakit. Dan dipromosi kepada doktor-doktor sehinggalah mereka menjadi pembeli dan membuka akaun dengan anda. Dan setiap ' representative ' biasanya mengawal selia bagi sebuah negeri. Dan saya, mengawal dua buah negeri.

Saya tidak pernah minat untuk berkerjaya sebagai jurujual. Namun dengan usia yang mematangkan tambahan lagi baru berkahwin dan bakal menimang cahaya mata membuatkan saya terdetik untuk serius. Lagipun kerjanya berjumpa doktor, golongan professional. Juga tiada ofis dan bergerak secara individu. Timbul rasa ingin cuba dan belajar selok-belok jualan dan pemasaran. Kerana ianya juga adalah seni. Seni memikat dan mempengaruhi. Dan ini jugalah yang saya inginkan ketika bekerja di bank dahulu. ( Tidak duduk di ofis ). Dan dari seburuk-buruk klinik sehinggalah semegah-megah hospital dapat saya nikmati persekitaran pekerjaan.

Saya memandang ' sales ' sebagai sukar tetapi mudah jika sudah mahir cara. Memang disiplin adalah prinsip utama malah dalam pekerjaan apa pun. Saya mencipta formula untuk ' tidak menjadi diri sendiri '. Ia selama 8 jam sehari dalam 5 hari seminggu. Ini  bermaksud saya harus meng' create ' satu watak baru yang berbeza dengan diri sebenar. Boleh dikatakan hipokrit namun ia penting untuk membuatkan saya tidak kecewa. Kerana yang dihadapi pelanggan itu adalah diri saya dalam versi lain. Yang lebih sopan, lembut, peramah dan berbicara Inggeris senantiasa. Selesai waktu kerja, saya adalah Nil Adriez semula. 

Saya dapat membantu pesakit untuk sembuh. Ini sebenarnya aspek yang terabai ketika mula saya memandang pekerjaan ini. Timbul rasa terharu dan gembira bila saya dapat melihat pesakit itu menggunakan produk saya dan ' getting better ' dengannya. Inilah antara kepuasan yang mempengaruhi saya kekal dalam pekerjaan ini. Selepas mendapat jualan, saya kan gembira. Saya meraikannya dengan minum kopi dan menghisap rokok, mendengar lagu sekuatnya di dalam kereta dan terus berjalan lagi. Jalan beratus kilometer lagi untuk berjumpa pelanggan baru dan lama. Dan setiap pelanggan ada saja kerenahnya namun harus teruskan lagi bekerja. Singgah juga di tempat di mana ada pemandangan yang menenangkan.

Kerjaya ini menyeronokkan jika anda jenis yang selesa sendiri, menetap di hotel juga kadangkala seminggu sendiri. Tiada teman sepejabat dan tiada ' mate ' untuk menghadapi permasalahan bersama. Namun saya selesa. Seperti di artikel ' 25 ', saya masih lagi samar-samar. Namun buatlah apa yang termampu untuk hidup.Tak pasti sehingga bila saya akan kekal bersama kerjaya ini namun saya menganggapnya salah satu warna dalam proses kehidupan saya. Saya masih memegang janji saya untuk menjadi artisan. Tak kira lapangan seni mana pun namun saya tetap mahu ke tahap itu. Mungkin saya akan berkarya dan menjana pendapatan daripadanya, mudah-mudahan .. siapa tahu. Dan ini juga ternyata hanya ' persinggahan kerjaya ' sehingga nanti dapat mula perniagaan sendiri .. juga siapa tahu.

No comments:

Post a Comment