Thursday, January 13, 2011

Keroncong Untuk Ana



   Juara Lagu ke 25 baru-baru ini mengundang banyak reaksi dan diperdebatkan di mana-mana. Di Facebook, Youtube, di kedai makan mahupun di pejabat-pejabat kerajaan. Memang besar penangan anugerah yang berusia sama denganku ini. Terpanggilnya saya menulis mengenai ‘ kekecohan ‘ ini bukan kerana pentingnya anugerah ataupun hiburan tetapi atas rasa sayangnya pada kesenian dan adanya sifu kejiwaan saya laitu M.Nasir di anugerah tersebut.

  Memang setiap tahun kemenangan akan dipertikai, malah pada anugerah atau kejuaraan apa sekalipun. Dan kemenangan Ana Raffali kali ini tidak jauh bezanya. Lagu “ Tolong Ingatkan Aku “ yang dikatakan ‘ sampah ‘ oleh segelintir pihak muncul sebagai juara. Yang menjadi isu yang dihangatkan adalah mengapa lagu ini boleh muncul sebagai juara. Secara peribadinya saya ‘ suka ‘ ia menjadi juara.

  M.Nasir sebagai ketua juri seolah bertindak kejam kerana memilih lagu ini. M.Nasir yang pernah 3 kali muncul juara di Anugerah ini dengan lagunya  Tanya Sama Itu Hud-Hud, Ghazal Untuk Rabiah, dan Andalusia “ ini besar kredibilitinya untuk melayakkannya sebagai ketua juri. Barisan juri yang lain pula adalah Habsah Hassan, Acis, Pacai, Amy (Search) dan Andy (Flop Poppy). Dan pasti ada sebab yang tersurat dan tersirat mengapa tokoh seni yang telah menghasilkan lebih dua ribu lagu itu memilih lagu ini.

Saya memetik katanya ;

“ Lagu nyanyian Ana Raffali itu bersifat sensitif, peribadi dan jujur. “

“ Lagu itu mempunyai rasa. Itu yang penting dan yang kita cari sebenarnya. Sama ada betul atau salah, keputusan itu dibuat dengan penuh kesedaran, penuh pengetahuan muzik, cita rasa dan pembaharuan. “

“ Lagu ini dikategorikan sebagai lagu terbaik tetapi mungkin penonton rasa lagu ini tidak ‘ besar ’. Saya melihat kepada kekuatan lirik dan lagunya. Ada kebanyakan lagu yang lemah pada lirik atau lagu dan kedua-duanya. ”

“ Saya suka pesona melodi dan kejujuran lagu ini berbanding lagu lain. Lirik lagu Tolong Ingatkan Aku lain dari yang lain dan bagus. “

“ Sebagai ketua juri, saya memilih lagu dan lirik yang bagus dan bukan yang popular. ”

  Dalam sejarah Juara Lagu, hanya tiga artis yang pernah memenangi Juara Lagu sebagai penggubah, penulis lirik dan penyanyi, iaitu M.Nasir menerusi lagu " Andalusia " pada tahun 1999, Yassin bagi lagu " Mimpi Laila " pada tahun 2001, dan Ana Raffali bagi lagu " Tolong Ingatkan Aku " pada tahun 2011 ini. Jelas sekarang pesona Ana Raffali pada M. Nasir adalah berbeza dimatanya berbanding peserta lainnya. Ana Raffali bergerak dalam keseluruhan lagunya.

 Ada yang menyatakan lagu “ Tolong Ingatkan Aku " ini agak ‘ tak faham ‘ liriknya, agak terlalu ‘ kurang ‘ pemilihan perkataanya. Tapi mengapa ? Apa yang hendak dipelikkan ? Bak kata M.Nasir “ Saya melihat kepada kekuatan lirik dan lagunya “. Jadi memang ada ‘ something ‘ pada lagu ini yang difahami saya sebagai jujur, peribadi dan tersendiri.

   Seperti lagu M.Nasir sebagai contoh saya ambil lagu “ Perang Yang Lagi Satu, Sentuhan Listrikmu, Wadi, Dibalik Cermin Mimpi, Setiap Dambaan, Destinasi Eterniti malah Mustika sendiri mempunyai maksud yang tersendiri dan peribadi. M.Nasir yang sejak tahun 1979 menggubah lagu dan lirik pasti melihat ‘ roh ‘ pada lagu ini berbeza, yang membuatkan ianya juara berbanding lagu lainnya.

Saya juga mengambil kenyataan daripada blog Ana Raffali sendiri yang berbunyi ;

Menulis puisi dan lirik itu satu disiplin yang berbeza. Kadangkala melodi diutamakan untuk memberi rentak pada penceritaan dalam mana-mana lagu. Ada juga masa lirik membawakan ritma yang menentukan corak melodi. Puisi lebih bebas dan tak tertakluk pada mana-mana ukuran. "

Seperti yang awak boleh lihat, walaupun ceritanya sama (perkataan yang digunakan pun sama), terdapat kelainan dari segi susunan dan fokus masing-masing. Puisi barangkali lebih kepada memujuk supaya jangan bergaduh dan berpisah, manakala lagu/liriknya adalah peringatan untuk tidak bergaduh dan berpisah. "

  Kenyataan ini adalah daripada Ana Raffali sendiri dalam memberi komen mengenai lagunya. Satu yang pasti, kenyataan sebegini takkan mungkin muncul daripada Tomok, Black apatahlagi daripada graduan Akademi Fantasia.  Ternyata lagu ini ada maknanya tersendiri  walaupun melodinya tidak cukup hit bagi radio-radio.

   Saya secara peribadi ‘ suka ‘ lagu Ana Raffali ini sebagai juara walaupun pilihan saya sebenarnya bukan pada lagu ini. Ia memberi impak yang positif pada penyanyi-penyanyi di Malaysia supaya lebih kreatif, jujur, berimaginasi dan berusaha sendiri dalam mencipta dan mempromosikan lagu. Pemuzik wajib kreatif dan bukan mengharap lagu daripada komposer terkenal dan hit untuk seketika. Tak salah kalau saya katakan lagu itu terbaik dinyanyikan oleh penciptanya sendiri.

  Kita tamatkan di sini sahaja. Banyak lagi isu yang wajar diperdebatkan. Mungkin sekarang kita patut utamakan isu kenaikan harga barang. Tahun ini bakal menyaksikan pesta kenaikan harga barang yang pasti akan naik tapi tak mahu turun. Dan untuk industri muzik, harapan saya adalah kita jangan malu untuk belajar, guru terbaik tetap adalah pengalaman. Banyakkanlah membaca dan menulis kemudian ekspresikan dengan melodi. Bila kalah jangan rebah dan bila menang jangan mudah berasa senang.

Kemenangan ini ternyata adalah sebuah Keroncong Untuk Ana  

                                                  “ Seni Itu Halus “   ~ Irama Kebenaran

2 comments:

  1. Pandangan kau dengan aku selari tentang ini, sedikit beda itu biasa kerana pandangan manusia itu unik, tak sama, yang pasti pasti ada similariti. Walau mungkin lewat dari kehangatannya, aku pasti sejarah akan berulang. History repeat itself. AJL kan setipa tahun.

    AkuMuzikFilem-Ana Raffali menang, saya okay!
    http://akumuzikfilem-atari.blogspot.com/2011/01/ana-raffali-menang-saya-okay.html

    ReplyDelete
  2. Benar Saat. Artikel ini tertulis selepas aku membaca ulasan daripada blog kau dan kerana bengangnya ' ramai ' yang mempertikai kemenangan Ana Raffali. Aku akui kemenangan ' underdog ' lebih bereti dan apa nak dikata, Lim Swee Tin pun memperakui lirik lagu ini terbaik.

    ReplyDelete